Ahad, 15 Ogos 2010

Penawar Segala Ancaman

SURAH al-Fatihah adalah pembuka kitab suci al-Quran. Sebagai hamba Allah, kita perlu meyakini kalam Allah itu adalah penawar serta petunjuk daripada segala bentuk ancaman tidak kira berupa penyakit, kesesatan atau kegelapan.

Malah, dalam sehari sebanyak 17 belas kali surah yang terhimpun tujuh ayat ini dibacakan dalam ibadat solat kita.


Keagungan dan kebesaran surah al-Fatihah ini pasti terpancar dalam diri seseorang jika kita fahami dengan mendalam segala kandungan yang termuat di dalamnya. Empat ayat pertama di dalam surah al-Fatihah mengenalkan manusia bahawa Allah adalah Tuhan alam semesta.


Ia menerangkan kepada kita saat hari pembalasan yang pasti akan tiba. Allah juga menerangkan kepada seluruh umat manusia bahawa Dia bersifat rahmat.


Justeru, secara semula jadi akan timbul perasaan hamba dalam diri manusia. Kemudian pada ayat kelima, surah al-Fatihah hadir dalam bentuk ucapan.


Ia menandakan perubahan yang berlaku pada diri manusia sebelum mengenal Allah dan selepasnya. Perubahan bentuk ayat daripada penyataan berkenaan menjadi ucapan jelas bahawa kita perlu lahirkan perasaan ikhlas untuk melakukan segala ibadah kepada Allah.


Semoga segala rahsia yang diwariskan nabi junjungan besar kita, Muhammad s.a.w ini berupaya menjadikan diri serta menyuntik diri seseorang memilih jalan lurus sebagai corak hidupnya. Apa yang perlu kita ketahui, al-Fatihah yang diajarkan kepada kita adalah untuk mendidik diri. Ia tidak terhad membaca teksnya tetapi mesej Ilahi berkenaan perlu benar-benar dilihat, didengar, dirasa dan dialami manusia. Mungkin boleh dikongsikan bersama, kekuasaan kalam suci ini terbukti pada Fudhoil bin Iyadh, iaitu seorang penyamun yang sangat terkenal pada zamannya. Ketika sedang memanjat dinding jirannya untuk mencuri lalu mendengar ayat al-Quran yang berbunyi: “Belum tibakah waktunya bagi orang-orang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berkelakuan) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik.” (Surah al-Hadid ayat 16).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan